Luahan Hati Catriona Ross Pasrah Besarkan Anak Autisme terasa bagai “Langit akan runtuh dan sebak bila anak diagnos Autism”

Загрузка...

Umum tahu pelakon terkenal berdarah kacukan Melayu-Scottish, Catriona Ross merupakan ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil dan salah seorangnya adalah autisme. Pelakon kelahiran Kelantan ini reda memiliki anak syurga ini walau pada mulanya seakan tidak mampu menerima ketentuan Ilahi.

“Apa yang boleh saya gambarkan ketika mula-mula anak didiagnosis autisme adalah sebak, sedih dan terasa bagai langit akan runtuh. Saya harapkan itu bukan cerita yang sebenar. Saya dan suami berjumpa beberapa orang Pakar untuk mengesahkan dan ternyata setelah pertemuan yang ketiga, kami terpaksa mengiakan. Saya cuba bangun daripada kerusi tapi macam tidak terdaya. Dunia saya jadi gelap dan hanya mampu menangis.

Lama juga saya down selepas menerima berita tersebut. Setiap hari menangis tapi saya cuba untuk buat research dan baca tentang apa yang perlu dibuat dan apakah next step. Tiba-tiba saya teringat Fynn Jammal lalu saya hubungi dia untuk bercerita dan minta pandangan. Dia banyak menghulurkan bantuan ketika saya sangat memerlukan ketika itu,” terang ibu kepada Jammal Raess Ross-Iddin Shaharuddin ini.

Menurut Cat sebelum mempunyai anak autisme dia hanya kenal perkataan autisme tanpa ilmu yang mendalam. “Sebelum tahu anak autisme, saya hanya tahu perkataan itu dan apa kah autisme tapi setelah disahkan baharu saya baca secara terperinci dan mendalam. Saya habiskan masa dua bulan pertama membaca berbagai-bagai forum antarabangsa, laporan, jurnal dan artikel. Terdapat juga buku-buku yang berkaitan saya beli dan baca. Semuanya demi melengkapkan diri untuk membesarkan Raess tersayang.

PANDANGAN SERONG

Jika dilihat secara luaran kanak-kanak autisme ini membesar seperti kanak-kanak yang lain. Situasi ini sering mengundang pandangan serong kepada masyarakat kepada kanak-kanak ini apabila tengah meltdown.

Raess yang keletah dan manja.

“Jika berlaku meltdown memang kelam-kabut sikit tetapi jarang-jarang berlaku. Namun jika berlaku di khalayak ramai, selalunya saya cepat-cepat minta maaf dan berterus-terang, anak saya autisme. Biasanya mereka angguk tanda faham dan memberi isyarat dengan tangan bererti tak apa. So far people around me has been kind dengan body language yang begitu. Saya bersyukur sangat.

Sebagai selebriti yang dikenali dan mempunyai anak autisme, timbul rasa tanggungjawab untuk sama-sama tingkatkan kefahaman tentang anak autisme ini. Sebab itu daripada awal saya jujur dan beritahu kepada famili serta kongsi di Instagram dan Facebook. Ini penting agar masyarakat sama-sama faham fasal autisme.

Saya berharap perkongsian ibu bapa lain yang tampil berani dan jujur untuk mendidik masyarakat tentang autisme. Ramai ibu bapa masih malu dan tak berani untuk berkongsi sebab malu pada anggapan masyarakat tapi, itu merugikan kita. Alangkah bagus jika kita kongsi dan berani bercerita dan sama-sama memberi inspirasi. Masyarakat akan menuding dan menghakimi selagi mereka tidak faham. Itu tanggungjawab kita. Jadi mereka akan faham sekiranya berlaku meltdown di tempat awam, mereka juga akan dapat membantu kita jika perlu,” tutur Cat sambil mengusap lembut rambut anaknya.

Загрузка...