Walaupun Perniagaan Kecil, Jangan Guna Akaun Simpanan Tapi Akaun Semasa

Siapa sangka sedang seronok berniaga secara online secara kecil-kecilan tiba-tiba dapat surat dari pihak bank yang menyatakan akaun simpanan yang sering digunakan dalam bisnes itu akan ditutup kerana didapati terlalu banyak transaksi dibuat dan dia harus menggunakan akaun semasa sahaja untuk tujuan berniaga.

Akibat tidak berpuas hati dengan perkara berkenaan, wanita yang dikenali sebagai Reen telah mengambil keputusan menghubungi pihak bank untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku. Siapa tak terkejut, selama ini akaun simpanan itulah yang digunakan untuk menerima bayaran dan membuat pembayaran, tambahan tiada sebarang masalah yang berlaku.

Melalui penjelasan yang disampaikan oleh pegawai bank tersebut, oleh kerana akaun simpanan milik Reen itu sering mempunyai transaksi keluar masuk yang amat banyak, akaunnya itu dikatakan sebagai penggunaan untuk menjalani perniagaan.

Rupa-rupanya, akaun simpanan mempunyai hadnya yang tersendiri dan tidak sesuai untuk digunakan untuk transaksi perniagaan atau berniaga. Oleh sebab itu, pihak bank menasihatkan wanita terbabit supaya membuka akaun semasa khas untuk perniagaan.

Walau bagaimanapun, isu berkenaan telah menjadi tanda tanya di kalangan penaiga kecil-kecilan yang turut menyatakan bahawa pendapatan mereka tidaklah seberapa dan bukannya memperolehi keuntungan berlipat ganda bernilai jutaan ringgit.

Kepada anda yang berniaga atau masih mencari jawapan mengapa peniaga harus membuka akaun semasa, anda boleh membaca penjelasan dari Reen ini. Anda juga boleh mengetahui beberapa langkah yang sepatutnya dilakukan serta cara untuk membuka akaun semasa dan cara buka akaun syarikat sama ada Maybank, CIMB dan sebagainya bagi tujuan perniagaan.

Mengapa Harus Buka Akaun Semasa Untuk Perniagaan?

Post ini penting untuk sesiapa yang menggunakan akaun bank personal buat niaga kecil-kecilan.

Pada 15 Februari 2018, saya menerima satu surat daripada CIMB Bank. Isi surat (rujuk gambar) menyatakan bahawa kaun bank simpanan saya akan ditamatkan pada 1 Mac 2018. Saya agak keliru dan terus menghubungi pihak CIMB Bank beratus kali tetapi tidak dapat.

Cara buka akaun semasa perniagaan syarikat di MaybankJangan sampai anda dapat surat dari bank macam ni, menyusahkan. – Reen

Hari ini 26 Februari 2018, setelah beratus kali call akhirnya dapat. Alhamdulillah. Saya bertanyakan tentang status akaun bank saya, kenapa ianya ditutup. Pihak bank mengatakan bahawa mereka akan menutup akaun bank secara berperingkat. Di bawah saya senaraikan sebab-sebab akaun bank yang mereka akan tutup.

Perniagaan kecil-kecilan seperti dropship, ejen dan lain-lain.

Terlalu banyak transaksi duit keluar masuk sebab akaun simpanan ada hadnya.

Habis tu, kalau banyak duit simpanan, takkan nak disimpan bawah katil? Saya juga bertanya kenapa akaun bank saya yang dikenakan tindakan seperti ini? Akaun yang saya guna untuk perniagaan ialah akaun semasa.

Mereka menjelaskan, “Pihak atasan mendapati akaun cik ada melakukan banyak transaksi keluar masuk duit dalam jumlah yang banyak dan ia merupakan bisness.”

“Baiklah, jadi macam mana pihak bank detect?” soal saya.

Jawapan mereka, “Pihak kami akan tahu sebab dari akaun berlainan yang memasukkan duit ataupun bank in cash deposit. Pihak kami akan membuat penutupan akaun secara berperingkat walaupun berniaga sebagai dropship kecil-kecilan sebab untuk berniaga kena buka akaun semasa.”

Allahu! Kasihannya para surirumah tangga yang baru nak berniaga. Takkan nak buka akaun semasa? Nak buka akaun semasa ini perlu ada bukti daftar perniagaan dengan SSM. Modal pun perlu ada RM1,000, kena pula bawa introducer lagi, kena isytihar cukai lagi hatta niaga untuk RM5 saja untuk satu barang.

Saya tanya lagi, “Dan bila saya boleh buka akaun baru?”

“Tak boleh buka dah dengan CIMB dan penutupan akaun ini bukan CIMB sahaja tetapi semua bank buat hal yang sama,” jelasnya.

Jadi, harap korang jangan guna akaun bank personal lagi. Saya guna akaun bank personal bukan untuk berniaga, saya ada akaun semasa untuk syarikat. Tetapi banyak transaksi keluar masuk sebab saya bukan hanya menjalani satu perniagaan sahaja. Dan duit akan masuk ke akaun bank saya dulu, kemudian baru dimasukkan ke akaun syarikat.

Cara buka akaun semasa MaybankBye CIMB, Hai Maybank. Memang jodoh dengan Maybank agaknya.

Jika anda sayangkan akaun bank anda, boleh daftar akaun semasa. Di bawah saya kongsikan prosedur untuk buat akaun bank semasa.

SSM enterprise saja, tak perlu Sdn. Bhd.

Deposit mengikut bank. Contohnya Maybank, RM1,000.

Introducer (bergantung pada bank, jika Maybank perlukan introducer yang sekurang-kurangnya setahun ada akaun semasa di bank berkenaan).

Selepas membuat akaun semasa, anda bebas keluar masuk duit RM2.6 bilion sekalipun, tetapi ingat, sila daftar syarikat anda kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Isytihar cukai anda sebelum diserang LHDN.

Jadi buatlah pilihan yang bijak. Kongsikan perkara ini kepada rakan-rakan anda agar ramai yang tahu dan tidak menjadi mangsa seperti saya. Tiada budi bicara lagi. Mereka mendapat arahan dari pihak atasan.