Ujian buat Uji Rashid

“Mungkin nama Uji ini membuatkan saya diuji sepanjang hidup.”

Demikian jawapan balas yang diberikan artis tersebut ketika ditanya mengenai cabaran dan dugaan yang dilaluinya ketika ini.

Tidak menyalahkan takdir, bagi pelakon dan penyanyi popular 70-an ini, dia tidak terkejut jika ada yang tidak mahu percaya yang kehidupan artis popular sepertinya tidak seindah mana selepas 40 tahun bergelumang dalam seni.

Antara dugaan terkini yang dihadapi Uji Rashid yang kini tinggal bersama-sama anak lelaki, Cico Harahap dan cucunya, Rindu Norfitrah apabila dipaksa keluar dari rumah dek tidak mampu membayar sewa.

Ternyata populariti yang diraihnya suatu ketika dahulu tidak membawa tuah sepanjang hayat buatnya apabila kekangan kewangan yang dihadapi memaksa dia yang kini berstatus ibu tunggal terus diburu sengsara.

“Yang berlaku bukanlah saya tidak membayar sewa selama setahun tetapi pada waktu yang sama wang sewa rumah yang ada perlu saya bahagi-bahagikan untuk kos rawatan anak saya.

“Sebab itu wang saya tidak cukup, bukan berlarutan tidak bayar, ada bulan yang saya tangguh. Tetapi pemilik rumah tidak faham dan saya juga faham situasi tersebut sebab memang salah saya tidak mampu bayar sewa. Tetapi cara dia meminta wang sewa rumah itu sangat memalukan dan menakutkan sehingga saya terpaksa buat laporan polis demi keselamatan,” katanya berkongsi kisah.

Kata Uji Rashid atau Fuziah Haroun Al-Rashid, yang berlaku pada usia tuanya kini adalah sebahagian kehidupan yang perlu dilaluinya dengan kuat.

Malah ketika kisahnya memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), ada yang hadir dengan pelbagai persepsi tersendiri mengenai artis tersebut.

Benarkah sikap suka ‘berseronok’ menyebabkan dia kini hidup melarat?

Ini jawapan Uji Rashid:

“Orang boleh berkata apa sahaja dan saya tidak peduli (dengan) kata mereka. Sebab sepanjang saya melalui kehidupan yang sukar ini, orang yang mengeluarkan kata-kata kecaman tersebut tidak pernah ada membantu.

“Saya bukan seperti yang mereka sangkakan. Saya tidak pernah hidup bermewah-mewah malah seorang yang sangat berjimat. Bagaimanapun ujian saya datang dari arah berbeza.

“Saya juga seperti orang lain yang pada awalnya sudah mempunyai perancangan untuk hidup bawah tanggungan anak yang sudah saya besarkan sejak lahir. Tetapi bukan itu yang berlaku kini apabila tidak sekadar menanggung Cico tetapi saya juga mengambil tanggungjawab untuk menguruskan hal kesihatannya selain menguruskan cucu, Rindu Norfitrah dan ini memerlukan sejumlah wang yang banyak setiap bulan,” jelasnya.

Reda dengan ujian yang terus menimpa, ternyata kecaman diterima kerana memohon rumah PPR tidak langsung mengganggu emosi dirinya.

Kata Uji Rashid, jika dia sudah menerima ujian yang lebih besar, apalah yang perlu dirisaukannya untuk tinggal di kawasan PPR.

Malah dia juga tidak melihat keperluannya untuk menjaga standard gelaran ‘primadona’ dengan tinggal dalam kemewahan tanpa berpijak di bumi yang nyata.

“Saya tidak melihat salah untuk saya tinggal di PPR, buat masa ini saya hanya berpijak di bumi yang nyata. Realitinya memang saya tidak mampu untuk membayar sewa lebih daripada RM1,500. Saya hanya mampu membayar sewa rumah PPR sahaja.

“Saya hanya mahukan tempat berteduh dan apabila doa saya diterima, saya sangat bersyukur yang akhirnya kini saya mempunyai sebuah rumah dengan kadar sewaan yang berpatutan dengan sumber kewangan saya kini,” katanya.

Menjelaskan beban kewangan yang dihadapi, Uji Rashid memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan untuk meneruskan kehidupan setiap bulan.

“Selain membayar keperluan harian seperti rumah dan sebagainya, saya juga menanggung kos rawatan Cico yang memerlukan rawatan hampir setiap minggu.

“Selalunya memang pendapatan datang daripada wang persembahan dan kadang-kadang ada insan yang menghulurkan bantuan. Saya akui, memang saya melalui hidup yang sukar tetapi saya terima setiap yang sudah ditulis dalam perjalanan hidup saya,” katanya lagi.

Cico tak salah

Melihat kehidupan hari tuanya yang dibelenggu kesusahan sebegini, ada yang mempertikai kemampuan anak tunggalnya, Cico Harahap atau Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 39, untuk membantu keluarga. Malah ada yang hairan kenapa Uji Rashid tidak bergantung sahaja kepada anaknya itu.

Menjawab persoalan demi persoalan tersebut, jelas penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu meminta agar jangan terus mencari salah anak tunggalnya.

“Memang itu yang saya harapkan apabila saya tua seperti ini agar anak saya menggalas tanggungjawab untuk menjaga saya.

“Tetapi itu hanya perancangan saya, yang menentukan kuasa Allah.

“Selepas terkena penyakit misteri, kehidupan anak saya tidak seperti orang lain. Tidak boleh membaca dan bercakap adalah sebahagian daripada penyakit yang dihidapi. Yang paling teruk apabila dia tidak mampu lagi bekerja seperti biasa,” kongsinya.

Tidak kisah kehidupan tuanya tidak sebahagia orang lain, bagi Uji Rashid, walaupun kehidupan lalunya penuh dengan kisah indah seorang anak seni yang popular, kini impiannya hanya mahu melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu kembali pulih seperti sediakala.

“Fokus saya kini agar anak saya kembali pulih seperti biasa. Saya tidak kisah susah dan masih terpaksa bekerja untuk bayar wang perubatannya. Sebagai ibu saya akan sentiasa bersama-samanya melalui dugaan ini.

“Kalau mahu kata sedih, bagi saya perasaan itu akan dilalui setiap ibu. Bayangkan kita sudah besarkan anak yang sebelum ini sudah mampu membantu kita dengan bekerja, sekarang untuk buat apa sahaja tidak mampu, siapa yang tidak sedih,” katanya lagi.

Jangan babitkan saya dengan politik

Baru sahaja menerima kunci rumah PPR di kawasan Subang, Selangor pada 18 Mac lalu, Uji Rashid dengan tegas meminta tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan hidupnya dengan mengaitkan perkara itu dengan isu politik.

“Saya sudah melalui proses permohonan ini bertahun-tahun. Sebagai seorang rakyat Malaysia saya menggunakan prosedur yang sama seperti mereka di luar sana.

“Saya akui menyerahkan sendiri permohonan itu kepada Tan Sri Noh Omar (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), tetapi dalam keadaan itu saya memang terdesak kerana saya memang tidak mempunyai sebuah rumah untuk tinggal.

“Dan saya minta jangan politikkan masalah saya sebab tiada layanan istimewa seperti yang diperkata,” katanya.

Ahad lalu, Uji Rashid dan keluarganya telah menerima kunci rumah PPR yang diserahkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, N Jayaselan.

Hanya perlu membayar sewa sebanyak RM205 sebulan serta bayaran penyelenggaraan sebanyak RM50 ternyata ini adalah permulaan yang baik untuk diri dan keluarganya pada tahun ini dan dia amat mensyukurinya.