Kilafairy kena hisap rokok

Kilafairy mahu tingkat mesej keburukan merokok. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com

PELAKON, Kilafairy, 26, mengakui melalui saat sukar apabila terpaksa merokok bagi menjayakan karakter sebagai Deja dalam drama bersiri terbaru, Nafas.

“Saya bukan perokok. Tetapi, karakter Deja adalah sebagai perokok tegar yang kemudiannya menghidap kanser paru-paru.

“Jadi untuk menjayakan karakternya, saya terpaksa merokok dan ia amat mencabar buat saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu lagi, dia sebelum itu melakukan beberapa cara lain bagi menampakkan lakonannya realistik.

“Ada beberapa cara lain saya cuba lakukan semata-mata untuk tidak merokok. Antara yang saya lakukan adalah dengan menyedut asap vape. Namun tidak berhasil.

“Kemudian, saya terpaksa mencari rokok yang rasanya paling ‘ringan’,” katanya.

Bercerita mengenai karakter Deja, dia adalah gadis yang menghidap kanser akibat kuat merokok.

“Mesej positif daripada karakter ini supaya mereka di luar sana sedar keburukan merokok,” katanya.

Selain Kilafairy, Nafas yang diterbitkan oleh ntv7 turut dibintangi oleh Erwin Dawson, Nor Aliah Lee, Kaka Azraff, Ben Amir, Aishah Azman, Edika Yusof dan ramai lagi.

Drama 24 episod yang dalam proses penggambaran itu akan ditayangkan menjelang Mei nanti di ntv7.